Khamis, 28 Jun 2012

Mereka Panggil Saya Raksasa





LI HONGFANG yang berusia 40 tahun tidak pernah menyangka tumor yang membesar di mukanya sejak 10 tahun lalu menyebabkan dia dipinggirkan oleh penduduk kampung.

Penyakit yang dikenali sebagai kordoma itu menyebabkan mukanya membesar dan membuatkan wanita yang bekerja sebagai petani itu kelihatan seperti raksasa.

Ibu kepada dua orang anak itu memberitahu, dia tidak mampu menampung kos membuang tumor itu kerana bayarannya terlalu mahal iaitu kira-kira 600,000 yuan (RM296,732).

Hongfang menceritakan, dia mula menderita penyakit itu pada tahun 2001 dengan hanya kesan tompok kecil di dahinya.

Menetap di sebuah perkampungan di Tianchao, negeri Qianxian, dekat wilayah Shaanxi, dia disahkan
mempunyai tumor selepas menjalani pemeriksaan empat tahun kemudian.

Doktor mengesahkan dia mempunyai tujuh ketul tumor di bahagian muka. Akibat tidak mampu mendapatkan rawatan, dia terpaksa membiarkan tumor itu membesar perlahan-lahan.

"Saya sedar ramai orang melihat saya seperti raksasa tetapi saya sebenarnya manusia biasa. Saya ibu kepada dua orang anak, bukannya seekor raksasa," katanya.

Dahulu, Hongfang seorang wanita yang cantik. Lantaran penyakitnya itu, wang simpanannya habis digunakan mendapatkan rawatan. Akhirnya dia pernah menjadi pengemis di bandar.
Pembedahan

"Hidup mesti diteruskan untuk ibu mertua, anak-anak dan keluarga. Namun, penduduk kampung sering menganggap saya wanita malang yang membawa kecelakaan.

"Malah, mereka sering mengatakan suami saya akan meninggalkan saya tetapi Guo Yingping (suami baharunya) nampaknya sanggup menyimpan wang hasil bekerja di ladang untuk pembedahan saya," ujarnya.
Dia bersyukur kerana suaminya terus menyokongnya, begitu juga ibu mertuanya.

"Saya hanya ingin menjadi wanita normal semula selain ibu yang bertanggungjawab membantu keluarga," katanya.

Suami pertamanya terbunuh dalam kemalangan jalan raya tidak lama selepas Hongfang melakukan pemeriksaan doktor, namun selepas itu dia berkahwin dengan seorang lelaki yatim piatu, Yingping pada tahun 2009. Mereka tinggal di kampung berhampiran.

Kedua-dua anak lelaki Hongfang, berusia 14 dan 17 tahun, telah meninggalkan kampung halaman untuk bekerja, walaupun si ibu membantah hasrat mereka.

"Kami tidak mempunyai banyak wang tetapi kami mencintai antara satu sama lain. Kami begitu menyayangi dua anak lelaki kami.

"Tetapi anak saya mengambil tindakan nekad meninggalkan saya ketika saya amat memerlukan sokongan mereka," katanya sedih.

Namun, dia menarik nafas lega apabila kerajaan China bersedia menanggung kos rawatannya.

Menurut seorang pakar perubatan, Xue Gang, pihak atasan telah mengarahkan mereka mengubati Hongfang walaupun berapa banyak perbelanjaan yang diperlukan.

Seorang pakar bedah, Pan Lin dari Hospital Xijing, China, yang merupakan hospital wanita malang itu akan menjalani pembedahan memberitahu, keadaan Hongfang akan kembali normal selepas dibedah.

"Penyakitnya cukup pelik tetapi tidak sehingga mengorbankan nyawanya. Selepas pembedahan membuang tumor, kami akan melakukan pembedahan plastik bagi memastikan dia cantik semula," katanya. - Agensi
  
Kosmo! Online - Rencana Utama

Ahad, 24 Jun 2012

Kemunculan Puntianak di Bulgaria





JIKA anda menganggap puntianak hanya mitos atau kisah seram dalam filem, fikirkanlah semula. Ahli arkeologi Bulgaria baru-baru ini menemui dua rangka manusia daripada Zaman Pertengahan dengan sebatang besi menikam dadanya, dipercayai bagi menghalang si mati daripada hidup semula sebagai puntianak.

Dua rangka itu, dikatakan berusia 800 tahun, ditemui dalam satu ekskavasi berhampiran sebuah biara di bandar Laut Hitam Bulgaria, Sozopol.

Ketua Muzium Sejarah negara itu, Bozhidar Dimitrov berkata, dua rangka yang ditikam itu menyamai amalan penduduk kampung di Bulgaria sehingga dekad pertama abad ke-20.

Bomoh-bomoh di Eropah percaya orang yang berkelakuan jahat semasa hidup akan bertukar menjadi puntianak selepas mati melainkan dadanya ditusuk batang besi atau kayu sebelum dikebumikan.

Mereka yakin batang besi itu dapat menghalang si mati daripada merayau-rayau pada waktu tengah malam dan mengganggu penduduk. Menurut Dimitrov, lebih 100 rangka dengan tikaman besi ditemui di Bulgaria dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini.



PENEMUAN rangka puntianak di Bulgaria menimbulkan misteri sama ada makhluk itu benar-benar wujud.



“Saya tidak tahu kenapa penemuan rangka seperti itu menjadi begitu popular. Mungkin ia disebabkan misteri perkataan puntianak,” katanya.

Puntianak Eropah kebiasaannya adalah lelaki tetapi bulan lalu, penyelidik Itali menemui rangka puntianak wanita di Venice - ditanam dengan seketul bata disumbat ke dalam mulutnya bagi menghalangnya daripada memburu mangsa di bandar itu. Puntianak wanita itu dipercayai daripada abad ke-16.

Ahli antropologi Universiti Florence, Matteo Borrini berkata, penemuan di sebuah pulau kecil, Lazzaretto Nuovo di lagun Venice itu menyokong kepercayaan lama bahawa puntianak menjadi dalang di sebalik kejadian huru-hara seperti Black Death pada abad berkenaan.

“Untuk membunuh puntianak itu, anda terpaksa membuang kain yang menutup mulutnya. Kain itu umpama makanan sama seperti susu bayi. Sebagai ganti, letakkan benda yang tidak boleh dimakan,” jelas Borrini.
Kisah puntianak ternyata bukan sahaja terkenal dalam kalangan penduduk kampung di Malaysia bahkan di negara-negara maju di Eropah.

Cerita itu juga popular di Indonesia hinggakan sebuah wilayah di Kalimantan Barat dinamakan Pontianak. Menurut cerita orang tua-tua, pengasas Pontianak iaitu seorang ulama bernama Syarif Abdurrahman Al-Qadri sering diganggu oleh hantu itu ketika menyusuri Sungai Kapuas yang merupakan pintu masuk ke bandar itu dari Laut China Selatan.

Ulama itu dikatakan menggunakan meriam karbaid untuk menghalau atau membunuh makhluk tersebut.
Halia



PAKU membunuh puntianak. - Gambar hiasan


Sehingga hari ini, meriam yang digunakan itu menjadi satu instrumen untuk menarik pelancong ke situ.
Menurut Datuk Bandar Pontianak, Paryadi, meriam karbaid digunakan untuk menghalau puntianak semasa pemerintahan sultan di Pontianak.

“Kini ia digunakan untuk memaklumkan penduduk di sini waktu solat Maghrib, berbuka puasa dan pengumuman Hari Raya Aidilfitri,” beritahu beliau.
Di Eropah, mitos puntianak memiliki banyak versi. Di Greece ia dikenali dengan nama vrykolakas manakala di Romania, symengol.

Kisah puntianak turut diangkat oleh penulis Britain, John Polidori yang menghasilkan novel bertajuk The Vampyre pada tahun 1819. Cerita hantu penghisap darah itu sangat digeruni hingga menimbulkan ketakutan dalam kalangan orang ramai pada masa itu.

Di Croatia pada tahun 1672, penduduk sebuah kampung diceritakan gempar apabila seorang penduduk yang mati pada tahun 1656 hidup semula dan menghisap darah penduduk selain merogol wanita janda.

Serangan puntianak turut menggemparkan Britain pada tahun 1970 apabila beberapa akhbar tempatan melaporkan berita kononnya hantu itu telah menyerang kawasan Perkuburan Highgate di London.

Ia menyebabkan ramai pemburu puntianak berkumpul di situ. Sesetengah daripada mereka sempat menulis buku mengenainya hingga memperoleh keuntungan.

Seorang penulis buku dan juga pemburu hantu, Sean Manchester mendakwa telah menghapuskan semua puntianak di kawasan itu. Tetapi tiada bukti jelas mengenai kewujudan hantu itu.

Pada Januari 2005 pula, penduduk Birmingham terkejut dengan kemunculan seorang penyerang yang berkelakuan seperti puntianak iaitu menghisap darah mangsa sebelum membunuhnya. Bagaimanapun, polis yang menyiasat kes itu mengatakan andaian puntianak itu hanya khabar angin

Seorang pakar teologi Perancis, Dom Augustine Calmet pernah membuat kajian komprehensif berdasarkan kes serangan puntianak tetapi tidak menemui bukti tentang kewujudan makhluk itu.
Mitos



SALAH satu babak dalam filem Abraham Lincoln: Vampire Hunter yang dilakonkan aktor terkenal Amerika Syarikat, Benjamin Walker.



Pemerintah Austria pada kurun ke-17, Maria Theresa Walburga Amalia Christina pula meminta doktor peribadinya, Gerard Van Swieten menyiasat entiti puntianak tetapi ia juga berakhir dengan kegagalan.
Kata Swieten, kisah puntianak itu sekadar menggalakkan pengamal ilmu hitam menggali kubur untuk memantapkan ilmu serta mencuri organ manusia untuk dijual.

Pengkaji alam misteri dan sejarah purba Nusantara, Mohammad Idrus Abu Hanifah berpendapat, puntianak sebenarnya ialah jin dan hantu yang ingin mengganggu manusia.

Katanya, tidak mungkin jin serta hantu dapat meragut nyawa manusia.

“Pelbagai teori telah dikemukakan tetapi tidak ada sekeping gambar atau kajian saintifik yang mengesahkan perkara tersebut.

“Malah, cara menghapuskan puntianak mempunyai pelbagai versi seperti mencurahkan air panas pada muka atau abu mayat, melemaskan hantu itu, menusuk paku ke tengkuknya dan menyumbat halia ke dalam mulutnya,” katanya kepada Jurnal.

Merujuk kepada negara ini, puntianak dikatakan hantu wanita yang berwajah cantik selepas dipantak paku di tengkuknya tetapi akan kembali hodoh jika paku itu dicabut.

Mohammad Idrus mengaku pernah membuat kajian dengan pergi ke sebuah lokasi yang dikatakan ada puntianak di Hulu Selangor.

“Di situ, saya berjumpa dengan hantu puntianak yang hodoh. Sebaik sahaja saya mencucuk paku sepanjang 10 sentimeter di tengkuknya, tidak berlaku apa-apa perubahan sebaliknya hantu itu memarahi saya.

“Hantu itu memakai pakaian berwarna putih manakala matanya merah menyala. Ia mempunyai gigi yang tajam, memang tak cantik langsung,” dakwa Mohammad Idrus sambil ketawa.

Kosmo! Online - Rencana Utama
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Template by:
Free Blog Templates