Khamis, 28 Jun 2012

Mereka Panggil Saya Raksasa





LI HONGFANG yang berusia 40 tahun tidak pernah menyangka tumor yang membesar di mukanya sejak 10 tahun lalu menyebabkan dia dipinggirkan oleh penduduk kampung.

Penyakit yang dikenali sebagai kordoma itu menyebabkan mukanya membesar dan membuatkan wanita yang bekerja sebagai petani itu kelihatan seperti raksasa.

Ibu kepada dua orang anak itu memberitahu, dia tidak mampu menampung kos membuang tumor itu kerana bayarannya terlalu mahal iaitu kira-kira 600,000 yuan (RM296,732).

Hongfang menceritakan, dia mula menderita penyakit itu pada tahun 2001 dengan hanya kesan tompok kecil di dahinya.

Menetap di sebuah perkampungan di Tianchao, negeri Qianxian, dekat wilayah Shaanxi, dia disahkan
mempunyai tumor selepas menjalani pemeriksaan empat tahun kemudian.

Doktor mengesahkan dia mempunyai tujuh ketul tumor di bahagian muka. Akibat tidak mampu mendapatkan rawatan, dia terpaksa membiarkan tumor itu membesar perlahan-lahan.

"Saya sedar ramai orang melihat saya seperti raksasa tetapi saya sebenarnya manusia biasa. Saya ibu kepada dua orang anak, bukannya seekor raksasa," katanya.

Dahulu, Hongfang seorang wanita yang cantik. Lantaran penyakitnya itu, wang simpanannya habis digunakan mendapatkan rawatan. Akhirnya dia pernah menjadi pengemis di bandar.
Pembedahan

"Hidup mesti diteruskan untuk ibu mertua, anak-anak dan keluarga. Namun, penduduk kampung sering menganggap saya wanita malang yang membawa kecelakaan.

"Malah, mereka sering mengatakan suami saya akan meninggalkan saya tetapi Guo Yingping (suami baharunya) nampaknya sanggup menyimpan wang hasil bekerja di ladang untuk pembedahan saya," ujarnya.
Dia bersyukur kerana suaminya terus menyokongnya, begitu juga ibu mertuanya.

"Saya hanya ingin menjadi wanita normal semula selain ibu yang bertanggungjawab membantu keluarga," katanya.

Suami pertamanya terbunuh dalam kemalangan jalan raya tidak lama selepas Hongfang melakukan pemeriksaan doktor, namun selepas itu dia berkahwin dengan seorang lelaki yatim piatu, Yingping pada tahun 2009. Mereka tinggal di kampung berhampiran.

Kedua-dua anak lelaki Hongfang, berusia 14 dan 17 tahun, telah meninggalkan kampung halaman untuk bekerja, walaupun si ibu membantah hasrat mereka.

"Kami tidak mempunyai banyak wang tetapi kami mencintai antara satu sama lain. Kami begitu menyayangi dua anak lelaki kami.

"Tetapi anak saya mengambil tindakan nekad meninggalkan saya ketika saya amat memerlukan sokongan mereka," katanya sedih.

Namun, dia menarik nafas lega apabila kerajaan China bersedia menanggung kos rawatannya.

Menurut seorang pakar perubatan, Xue Gang, pihak atasan telah mengarahkan mereka mengubati Hongfang walaupun berapa banyak perbelanjaan yang diperlukan.

Seorang pakar bedah, Pan Lin dari Hospital Xijing, China, yang merupakan hospital wanita malang itu akan menjalani pembedahan memberitahu, keadaan Hongfang akan kembali normal selepas dibedah.

"Penyakitnya cukup pelik tetapi tidak sehingga mengorbankan nyawanya. Selepas pembedahan membuang tumor, kami akan melakukan pembedahan plastik bagi memastikan dia cantik semula," katanya. - Agensi
  
Kosmo! Online - Rencana Utama

Ahad, 24 Jun 2012

Kemunculan Puntianak di Bulgaria





JIKA anda menganggap puntianak hanya mitos atau kisah seram dalam filem, fikirkanlah semula. Ahli arkeologi Bulgaria baru-baru ini menemui dua rangka manusia daripada Zaman Pertengahan dengan sebatang besi menikam dadanya, dipercayai bagi menghalang si mati daripada hidup semula sebagai puntianak.

Dua rangka itu, dikatakan berusia 800 tahun, ditemui dalam satu ekskavasi berhampiran sebuah biara di bandar Laut Hitam Bulgaria, Sozopol.

Ketua Muzium Sejarah negara itu, Bozhidar Dimitrov berkata, dua rangka yang ditikam itu menyamai amalan penduduk kampung di Bulgaria sehingga dekad pertama abad ke-20.

Bomoh-bomoh di Eropah percaya orang yang berkelakuan jahat semasa hidup akan bertukar menjadi puntianak selepas mati melainkan dadanya ditusuk batang besi atau kayu sebelum dikebumikan.

Mereka yakin batang besi itu dapat menghalang si mati daripada merayau-rayau pada waktu tengah malam dan mengganggu penduduk. Menurut Dimitrov, lebih 100 rangka dengan tikaman besi ditemui di Bulgaria dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini.



PENEMUAN rangka puntianak di Bulgaria menimbulkan misteri sama ada makhluk itu benar-benar wujud.



“Saya tidak tahu kenapa penemuan rangka seperti itu menjadi begitu popular. Mungkin ia disebabkan misteri perkataan puntianak,” katanya.

Puntianak Eropah kebiasaannya adalah lelaki tetapi bulan lalu, penyelidik Itali menemui rangka puntianak wanita di Venice - ditanam dengan seketul bata disumbat ke dalam mulutnya bagi menghalangnya daripada memburu mangsa di bandar itu. Puntianak wanita itu dipercayai daripada abad ke-16.

Ahli antropologi Universiti Florence, Matteo Borrini berkata, penemuan di sebuah pulau kecil, Lazzaretto Nuovo di lagun Venice itu menyokong kepercayaan lama bahawa puntianak menjadi dalang di sebalik kejadian huru-hara seperti Black Death pada abad berkenaan.

“Untuk membunuh puntianak itu, anda terpaksa membuang kain yang menutup mulutnya. Kain itu umpama makanan sama seperti susu bayi. Sebagai ganti, letakkan benda yang tidak boleh dimakan,” jelas Borrini.
Kisah puntianak ternyata bukan sahaja terkenal dalam kalangan penduduk kampung di Malaysia bahkan di negara-negara maju di Eropah.

Cerita itu juga popular di Indonesia hinggakan sebuah wilayah di Kalimantan Barat dinamakan Pontianak. Menurut cerita orang tua-tua, pengasas Pontianak iaitu seorang ulama bernama Syarif Abdurrahman Al-Qadri sering diganggu oleh hantu itu ketika menyusuri Sungai Kapuas yang merupakan pintu masuk ke bandar itu dari Laut China Selatan.

Ulama itu dikatakan menggunakan meriam karbaid untuk menghalau atau membunuh makhluk tersebut.
Halia



PAKU membunuh puntianak. - Gambar hiasan


Sehingga hari ini, meriam yang digunakan itu menjadi satu instrumen untuk menarik pelancong ke situ.
Menurut Datuk Bandar Pontianak, Paryadi, meriam karbaid digunakan untuk menghalau puntianak semasa pemerintahan sultan di Pontianak.

“Kini ia digunakan untuk memaklumkan penduduk di sini waktu solat Maghrib, berbuka puasa dan pengumuman Hari Raya Aidilfitri,” beritahu beliau.
Di Eropah, mitos puntianak memiliki banyak versi. Di Greece ia dikenali dengan nama vrykolakas manakala di Romania, symengol.

Kisah puntianak turut diangkat oleh penulis Britain, John Polidori yang menghasilkan novel bertajuk The Vampyre pada tahun 1819. Cerita hantu penghisap darah itu sangat digeruni hingga menimbulkan ketakutan dalam kalangan orang ramai pada masa itu.

Di Croatia pada tahun 1672, penduduk sebuah kampung diceritakan gempar apabila seorang penduduk yang mati pada tahun 1656 hidup semula dan menghisap darah penduduk selain merogol wanita janda.

Serangan puntianak turut menggemparkan Britain pada tahun 1970 apabila beberapa akhbar tempatan melaporkan berita kononnya hantu itu telah menyerang kawasan Perkuburan Highgate di London.

Ia menyebabkan ramai pemburu puntianak berkumpul di situ. Sesetengah daripada mereka sempat menulis buku mengenainya hingga memperoleh keuntungan.

Seorang penulis buku dan juga pemburu hantu, Sean Manchester mendakwa telah menghapuskan semua puntianak di kawasan itu. Tetapi tiada bukti jelas mengenai kewujudan hantu itu.

Pada Januari 2005 pula, penduduk Birmingham terkejut dengan kemunculan seorang penyerang yang berkelakuan seperti puntianak iaitu menghisap darah mangsa sebelum membunuhnya. Bagaimanapun, polis yang menyiasat kes itu mengatakan andaian puntianak itu hanya khabar angin

Seorang pakar teologi Perancis, Dom Augustine Calmet pernah membuat kajian komprehensif berdasarkan kes serangan puntianak tetapi tidak menemui bukti tentang kewujudan makhluk itu.
Mitos



SALAH satu babak dalam filem Abraham Lincoln: Vampire Hunter yang dilakonkan aktor terkenal Amerika Syarikat, Benjamin Walker.



Pemerintah Austria pada kurun ke-17, Maria Theresa Walburga Amalia Christina pula meminta doktor peribadinya, Gerard Van Swieten menyiasat entiti puntianak tetapi ia juga berakhir dengan kegagalan.
Kata Swieten, kisah puntianak itu sekadar menggalakkan pengamal ilmu hitam menggali kubur untuk memantapkan ilmu serta mencuri organ manusia untuk dijual.

Pengkaji alam misteri dan sejarah purba Nusantara, Mohammad Idrus Abu Hanifah berpendapat, puntianak sebenarnya ialah jin dan hantu yang ingin mengganggu manusia.

Katanya, tidak mungkin jin serta hantu dapat meragut nyawa manusia.

“Pelbagai teori telah dikemukakan tetapi tidak ada sekeping gambar atau kajian saintifik yang mengesahkan perkara tersebut.

“Malah, cara menghapuskan puntianak mempunyai pelbagai versi seperti mencurahkan air panas pada muka atau abu mayat, melemaskan hantu itu, menusuk paku ke tengkuknya dan menyumbat halia ke dalam mulutnya,” katanya kepada Jurnal.

Merujuk kepada negara ini, puntianak dikatakan hantu wanita yang berwajah cantik selepas dipantak paku di tengkuknya tetapi akan kembali hodoh jika paku itu dicabut.

Mohammad Idrus mengaku pernah membuat kajian dengan pergi ke sebuah lokasi yang dikatakan ada puntianak di Hulu Selangor.

“Di situ, saya berjumpa dengan hantu puntianak yang hodoh. Sebaik sahaja saya mencucuk paku sepanjang 10 sentimeter di tengkuknya, tidak berlaku apa-apa perubahan sebaliknya hantu itu memarahi saya.

“Hantu itu memakai pakaian berwarna putih manakala matanya merah menyala. Ia mempunyai gigi yang tajam, memang tak cantik langsung,” dakwa Mohammad Idrus sambil ketawa.

Kosmo! Online - Rencana Utama

Khamis, 21 Jun 2012

Taksub Kuasa Tilikan Binatang





SEBELUM pemasyhuran Sepanyol sebagai juara kejohanan akhir Piala Dunia 2010 kira-kira dua tahun lalu, sotong kurita yang diberi nama Paul telah mendapat perhatian awal daripada seluruh peminat bola sepak dunia.

Paul yang dipelihara di akuarium Sea Life Centre di Oberhausen, Jerman, mula mendapat tumpuan ramai kerana dikatakan mempunyai 'kuasa' untuk membuat tilikan tepat.

Sotong yang berasal dari Weymouth, England itu meramal tepat tujuh keputusan perlawanan pasukan Jerman, termasuk kekalahan mengejut kepada Serbia ketika saingan di peringkat kumpulan pada temasya yang berlangsung di Afrika Selatan itu.

Pada perlawanan akhir, Paul sekali lagi menjadi tumpuan apabila meramalkan kemenangan pasukan Sepanyol yang ditabal menjadi juara selepas menewaskan Belanda dengan jaringan 1-0.

Semasa ramalan dilakukan, dua kotak yang tertera bendera pasukan bertanding, diletakkan di dasar akuarium.

Sambil disaksikan masyarakat di seluruh dunia, Paul akan berenang ke arah satu kotak, mengembangkan tentakelnya dan melekap pada kotak tertera bendera pasukan yang diramal dan akan memenangi satu-satu perlawanan.

Usia Paul, bagaimanapun tidak panjang. Beberapa bulan selepas 'persaraannya', sotong kurita berusia dua tahun setengah itu ditemui mati di akuarium peliharaannya.

Namun, fenomena Paul tidak pernah berakhir. Tumpuan peminat-peminat bola sepak dunia kini terarah kepada spesies haiwan manakah yang mampu mewarisi keistimewaan dan kuasa tilikan Paul pada kejohanan bola sepak Eropah (Euro) 2012 yang berlangsung serentak di Ukraine dan Poland baru-baru ini.

Ketika ini terdapat empat kategori haiwan telah dipilih oleh sebuah kelab peminat, Kharkiv Fan Zone yang berpusat di Ukraine untuk menjadi 'tukang tilik' sepanjang kejohanan. Antaranya, Citta the Elephant, Funtik the Pig, Yvonne the Cow, Fred the Ferret dan beberapa haiwan lain.

Fenomena Paul yang dilahirkan di England dan mendapat status kewarganegaraan di sebuah perkampungan di Sepanyol, menyebabkan rakyat di Jerman seakan-akan taksub dengan haiwan peramal.

Sebelum itu, Sissi the Munich, spesies anjing dachshund dan sotong kurita dikenali sebagai Rosi dari Rosenheim menjadi pujaan rakyat di negara itu kerana dipercayai mempunyai kuasa tilikan seperti Paul.

Tersilap ramalan

Bagaimanapun, kedua-duanya terpaksa bersara awal selepas tersilap membuat ramalan menyatakan pasukan Bayern Munich akan menewaskan Chelsea pada kejohanan Liga-Liga Juara pada bulan lalu. Sebaliknya pasukan Chelsea menang secara agregat 4-3 melalui tendangan penalti.



SOTONG kurita, Paul mencipta fenomena tilikan selepas haiwan itu berjaya meramal dengan tepat pada perlawanan akhir Piala Dunia 2010.



Seperti juga Sissi dan Rosi yang terpaksa bergelut membuat ramalan mereka, barisan haiwan-haiwan terpilih yang rata-ratanya dibesarkan di zoo, turut berdepan tugas sukar.

Fred the Ferret (Fred), yang menetap di Zoo Kharkiv, Ukraine merupakan pilihan terbaik setakat ini selepas Paul. Dia dipilih dalam kalangan peminat-peminat pasukan bola sepak tempatan, Metalist Kharkiv yang juga dikenali dengan gelaran Ferret.

Ahli kelab pasukan itu juga menjadikan feret sebagai maskot mereka.

Pengurus projek Kharkiv Fan Zone, Sergei Kharkov berkata: "Poland mempunyai gajah untuk membuat tilikan, jika tidak salah dinamakan Citta."

"Moscow pula mempunyai marmoset (Callithrix jacchus salah satu spesies monyet), Kiev mempunyai Khryak, seekor khinzir, tetapi kami mempunyai haiwan yang paling comel dan jinak, iaitu seekor feret.
"Fred mempunyai masa selama 15 minit di Fan Zone dan dalam tempoh itu ia akan meramal pasukan mana yang akan menang."

Kehadiran Fred dalam dunia ramalan bola sepak bagaimanapun masih belum teruji sepenuhnya. Ketika perlawanan peringkat pertama antara tuan rumah, Poland dan Greece, Fred meramalkan ia berakhir dengan keputusan seri. Ramalan itu memang tepat.

Pengendalinya menyimpulkan berdasarkan tingkah laku Fred yang enggan duduk di dalam kedua-dua mangkuk berisi daging segar di hadapannya. Bendera kedua-dua negara diletakkan berhampiran mangkuk berkenaan.

Bagaimanapun, ketika perlawanan di antara Rusia dan Republik Czech, Fred turut membuat ramalan yang sama iaitu seri, biarpun keputusan berakhir dengan kemenangan berpihak kepada Rusia dengan jaringan 4-1.
Namun, Fred berjaya menebus kesilapannya apabila meramalkan dengan tepat kemenangan Jerman ke atas Portugal dan kemenangan Denmark ketika menentang Belanda baru-baru ini.

Seperti Fred, haiwan-haiwan lain juga kini bergelut mencipta kemasyhuran seperti yang pernah dikecapi oleh Paul kira-kira dua tahun lalu.

Citta the Elephants dari Zoo Krakow, Poland turut gagal dalam percubaan pertamanya.

Gagal percubaan 

Gajah betina berusia 33 tahun itu sebelum ini meramalkan tuan rumah, Poland bakal memenangi perlawanan pembukaan Euro 2012 ketika menentang Greece pada Jumaat lalu.

Bagaimanapun, ramalan itu tidak tepat apabila kedua-dua pasukan terikat 1-1 sehingga ke akhir perlawanan.
Terdahulu, Citta, gajah berasal dari India mula menjadi sebutan peminat bola sepak dunia selepas

meramalkan kemenangan pasukan Chelsea di pertandingan akhir Liga Juara-Juara menentang Bayern Munich pada bulan lalu.

Kejayaan itu membolehkan Citta mengalahkan kedua-dua pesaingnya iaitu Katherine the Donkey dan Jacko the Parrot.

Sementara itu, kemampuan Yvonne the Cow, lembu yang keras kepala dari Jerman juga masih dipertikaikan.

Diletakkan harapan tinggi untuk menggantikan tempat Paul, Yvonne membuat keputusan yang kurang popular di negaranya apabila meramalkan pasukan Jerman kalah kepada Portugal pada perlawanan malam Sabtu lalu.

Bagaimanapun, pasukan Jerman berjaya menewaskan Portugal 1-0.



KEMAMPUAN Yvonne the Cow, lembu yang keras kepala dari Jerman juga masih dipertikaikan.



Yvonne, mula terkenal selepas media melaporkan kisah haiwan itu yang berjaya mengelak daripada disembelih dengan melarikan diri dari Austria sehingga ke Bavaria pada Mei tahun lalu.

Selepas bergelut melepasi pagar elektrik, lembu betina itu bersembunyi di hutan kecil selama hampir empat bulan sebelum ditangkap semula dalam satu operasi besar-besaran.

"Ia mempunyai karakter dan personaliti," kata penyampai radio Bayern 3, Ulli Wagner, stesen radio yang bertanggungjawab menghebahkan ramalan Yvonne.

Sementara itu, Funtik the Pig, babi yang berasal dari Ukraine agak bernasib baik kerana berjaya meramal dengan tepat empat daripada enam keputusan perlawanan di peringkat kumpulan pada kejohanan berkenaan.

Haiwan itu membuat ramalan dengan memilih antara dua mangkuk makanan yang diletakkan berhampiran bendera kedua-dua pasukan yang bertanding.

Sehingga kini, Funtik atau dikenali juga sebagai Khryak berjaya meramalkan kemenangan pasukan Rusia, Denmark, Jerman dan Croatia.

Funtik juga tidak terkecuali melakukan kesilapan apabila meramalkan pasukan Perancis menewaskan England dan Sweden kalah kepada Ukraine.

Apa pun, masih terlalu awal untuk menentukan haiwan manakah yang bakal membuat ramalan paling tepat sekali gus mampu menyaingi kemampuan Paul.

Adakah, Paulus the Octopus, sotong kurita yang dilahirkan di Jerman dan kini tinggal di sebuah akuarium di Porto, Portugal serta disebut-sebut bakal menjadi Paul II mampu mengatasi rekodnya itu. Kita tunggu dan lihat

 Kosmo! Online - Rencana Utama

Sabtu, 16 Jun 2012

Keajaiban Di Sebalik Ibadah Solat





DALAM tempoh empat hari lagi bulan Rejab akan melabuhkan tirai bagi memberi laluan kepada bulan Syaaban dan seterusnya bulan Ramadan. Bulan Rejab, cukup sinonim dengan peristiwa agung dalam sejarah Islam iaitu Israk dan Mikraj .

Ia merupakan sebuah perjalanan kilat Rasulullah S.A.W menghadap Allah S.W.T, pada malam hari. Kisah perjalanan baginda bermula dari Masjidil Haram, Mekah menuju ke Masjidil Aqsa, Baitulmuqaddis. Baginda kemudiannya dibawa ke langit sehingga ke Sidratulmuntaha, lalu kembali ke Mekah pada malam yang sama. Sidratulmuntaha digambarkan sebagai pohon bidara yang tumbuh di langit keenam dan ketujuh. Peristiwa itu berlaku pada 27 Rejab 662 Masehi pada usia baginda 52 tahun.

Peristiwa Israk dan Mikraj memberikan pelbagai hikmah dan kelebihan. Pada peristiwa itu, Allah S.W.T telah memfardhukan solat lima waktu iaitu solat Subuh, Zuhur, Asar, Maghrib dan Isyak ke atas semua umat Islam. Solat sehari semalam itu merupakan rukun Islam yang kedua.

Peristiwa Israk dan Mikraj membawa peringatan dan pengajaran yang wajib dilaksanakan oleh seluruh umat Islam di dunia ini, terutamanya amalan solat yang merupakan tiang agama yang wajib ditunaikan.

"Sebelum bertudung, saya terlebih dahulu menyucikan hati dan membaiki solat. Saya sentiasa berusaha menunaikan solat lima waktu walaupun sibuk dengan bermacam-macam aktiviti. Amalan solat tidak boleh dipandang remeh kerana ia perkara pertama akan dihisab pada hari akhirat," luah selebriti Wardina Saffiyah Fadhlullah Wilmot, 33. Beliau menyatakan, adalah lebih bermakna sekiranya seseorang muslimah itu bukan sekadar menutup aurat dan bertudung litup, tetapi turut menjaga solatnya.

Tegas wanita berdarah campuran Australia (sebelah bapa) dan Aceh (sebelah ibu) itu, dengan mendirikan solat ia membantu mengukuhkan hati dan iman para muslimin. Pada masa yang sama, orang yang bersolat itu jelas menunjukkan bahawa mereka tidak sombong kepada Allah, Yang Maha Mengetahui dan Maha Pencipta.

"Jika tidak bersolat, ini bermakna kita sombong dengan Allah. Justeru, jika kita bersikap bongkak dengan-Nya, maka tidak mustahil kita akan sombong terhadap manusia dan hidupan lain," kata Wardina yang mendidik tiga orang anaknya, Amna Ikhwan Johari, 9, Azra, 6, serta Imran, 3, solat berjemaah pada waktu Subuh, Maghrib dan Isyak.

Solat membentuk akhlak



SEHARUSNYA amalan solat disemai dalam diri individu sejak zaman kanak-kanak.



Sementara itu, Syahmi Hakim Kechnter Sha, 13, mengakui transisi kehidupannya hari ini lebih bermakna. Pada zaman kanak-kanaknya, dia tidak terlalu memikirkan soal solat dan mengaji al-Quran kerana beranggapan amalan tersebut akan dilaksanakan apabila dewasa kelak.

"Biasalah masa zaman kanak-kanak terlalu asyik dengan pelbagai aktiviti sehingga saya lalai. Kalau solat pun ikut mood, padahal solat itu perlu dilaksanakan mengikut waktu yang ditetapkan. Jenuh jua keluarga menasihati, tetapi saya tetap leka.

"Setelah mencapai usia 12 tahun, saya mula berubah dan berusaha untuk tidak meninggalkan solat lima waktu," terang anak bongsu daripada lima orang adik-beradik itu yang bercita-cita bergelar pendidik dan pakar motivasi. Dia kini menuntut di Akademi Tahfiz Al-Hidayah (ATAH) yang beroperasi di Jalan Gurney, Kuala Lumpur.

Luah anak kelahiran Juasih, Negeri Sembilan itu lagi, sememangnya amalan bersolat membawa 1,001 keajaiban yang sukar untuk diterjemahkan dengan kata-kata. Apa yang pasti, solat membantunya membentuk akhlak dan budi pekerti.

Menghafaz al-Quran

Bagi Wan Abdul Hakim Wan Zulkifli, 11, dia menyifatkan tanggungjawab menunaikan solat seharusnya dididik sejak kecil lagi.

Sebagai umat Islam yang sentiasa mendambakan keberkatan Allah untuk hidup di muka bumi ini, bersolat adalah platform yang terbaik dan lebih afdal.

"Setiap hari, saya memperuntukkan masa antara dua hingga tiga jam untuk membaca dan mempelajari ayat suci berulang kali supaya ingat dalam ingatan. Selain itu, bagi menguatkan lagi proses menghafaz ayat-ayat al-Quran beserta tajwid dan nahu yang betul, saya akan membacanya ketika mengimamkan solat jemaah,"
kata anak sulung daripada lima orang adik-beradik yang selalu menjadi imam untuk kumpulan pelajar tahap satu.

Setakat ini, Wan Abdul Hakim, sudah mampu menghafal lima juzuk al-Quran dengan lancar.

Erti perpaduan dalam solat

Salah seorang tenaga pengajar di ATAH, Hatim Nabihah Mohamad Khairi, 21, memberitahu, amalan solat memiliki fadilat secara tersurat dan tersirat. Selain mendekatkan diri kepada Allah, solat juga salah satu cara terbaik untuk mengajar umat Islam erti perpaduan dan keseragaman dalam menjalani kehidupan seharian.
"Di ATAH, kami menekankan para pelajar terutamanya yang berusia 12 tahun ke bawah menunaikan solat secara berjemaah yang diketuai seorang imam.



WARDINA (kanan) dan suami sentiasa menunaikan solat jemaah bersama tiga orang permata hati mereka.



"Hubungan antara imam dan makmum ketika melunaskan solat jemaah bertujuan mempamerkan situasi bersatu hati dalam kalangan orang Islam ketika menghadap Ilahi," tutur anak kelahiran Ampang, Selangor yang turut bertindak sebagai guru bahasa Inggeris di sekolah berkenaan.

Tambah Hatim, sememangnya solat jemaah itu dituntut dalam Islam. Mengikut mazhab Shafie, hukum solat berjemaah ialah fardu kifayah meskipun sesetengah pendapat menyatakan hukumnya sunat muakad.

"Selain itu, keunikan solat jemaah bukan saja menawarkan ganjaran pahala yang berlipat kali ganda, malah ia medium terbaik untuk merapatkan ukhwah sesama umat Islam yang terdiri daripada pelbagai bangsa, pangkat dan umur," terang Hatim yang sebentar tadi meminta para pelajar memperkemaskan diri dan membetulkan saf sebelum melakukan solat Asar.

Istinjak perlu betul



PADA peristiwa Israk dan Mikrak, Allah S.W.T telah memfardukan solat lima waktu yang wajib dilaksanakan oleh semua umat Islam di muka bumi ini.



Dalam pada itu, pengasas ATAH, Roslailawati Mohamad atau lebih mesra disapa Ibu Laila, menyifatkan bahawa solat itu merupakan tiang agama yang perlu kukuh dalam diri setiap umat Islam.

Tidak dinafikan kebanyakan muslimin segera menunaikan kewajipan solat sebaik saja kedengaran laungan azan, namun persoalannya, adakah sebelum mengambil wuduk dan bersolat, individu telah melakukan istinjak dengan sempurna?

"Istinjak atau menyuci memerlukan kita membersihkan dubur dan kemaluan sesudah buang air kecil atau besar serta perlu dilakukan sebelum berwuduk. Proses ini wajib dititikberat bagi memastikan tubuh badan bebas daripada rasa, bau dan warna kotoran atau najis.

"Selesai beristinjak barulah berwuduk dan pastikan aliran air rata pada seluruh anggota wuduk seperti muka, tangan sehingga siku, kepala dan bahagian kaki. Kemudian, disusuli dengan solat yang perlu dijaga tata tertibnya," terang Ibu Laila, 52, yang turut menyatakan apabila tiga perkara asas seperti istinjak, wuduk, dan tertib solat dijaga, ia secara tidak langsung membuka peluang kepada individu memperoleh solat berkualiti.
Tambah ibu kepada tujuh cahaya mata dan sembilan orang cucu berkenaan solat yang berkualiti membantu membentuk akhlak yang mulia. Pada masa yang sama, amalan solat mampu menghalang umat Islam daripada melakukan perkara yang mungkar dan dilaknati Allah.

"Namun, jangan terkejut sekiranya berjumpa dengan sekelompok individu yang jarang meninggalkan solat, tetapi mereka antara umat yang tegar melakukan maksiat. Mengapa? Jawapannya mudah saja kerana perkara asas solat belum dilunaskan dengan baik," jelas Ibu Laila yang menyokong usaha kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO) yang melancarkan kempen Jom Solat dan Kem Solat.

Kosmo! Online - Rencana Utama

Sabtu, 2 Jun 2012

Tasik lima kilometer hilang kurang 24 jam


DUA gambar menunjukkan Tasik Cachet II di Dataran Tinggi Patagonia, Chile. Gambar bawah dirakam pada 2 April lalu.

SANTIAGO, Chile – Dalam tempoh kurang 24 jam Tasik Cachet II di Dataran Tinggi Patagonia, selatan Chile ‘ghaib’ dengan hanya meninggalkan beberapa lopak besar dan kawasan dasar yang luas.
Air tasik berkenaan berasal daripada ais cair dari Glasier Colonia yang terletak di padang ais Patagonia Utara, sekitar 2,000 kilometer ke selatan ibu kota Chile, di sini.

Glasier berkenaan bertindak sebagai empangan yang menakung air tasik tersebut tetapi peningkatan suhu menyebabkan dinding glasier itu pecah sebanyak dua kali iaitu pada 27 Januari dan 31 Mac lalu.
Menjelang 2 April lalu, tasik seluas lima kilometer persegi bertukar kontang.
Sejumlah 200 juta liter padu air Tasik Cachet II mengalir ke dalam sungai berhampiran, Sungai Baker.
“Apabila kami bangun, kami terkejut melihat lembah di bawah kami dibanjiri air dan ketulan ais,” kata seorang pembantu penyelidik, Daniela Carrion.
Saintis berkenaan melakukan kajian di kawasan sekitar tasik Cachet II bersama sekumpulan penyelidik apabila tasik tersebut kering. – AFP

Sumber: Harian Metro

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Template by:
Free Blog Templates