DALAM tempoh empat hari lagi bulan Rejab akan melabuhkan tirai bagi
memberi laluan kepada bulan Syaaban dan seterusnya bulan Ramadan. Bulan
Rejab, cukup sinonim dengan peristiwa agung dalam sejarah Islam iaitu
Israk dan Mikraj .
Ia merupakan sebuah perjalanan kilat Rasulullah S.A.W menghadap Allah
S.W.T, pada malam hari. Kisah perjalanan baginda bermula dari Masjidil
Haram, Mekah menuju ke Masjidil Aqsa, Baitulmuqaddis. Baginda
kemudiannya dibawa ke langit sehingga ke Sidratulmuntaha, lalu kembali
ke Mekah pada malam yang sama. Sidratulmuntaha digambarkan sebagai pohon
bidara yang tumbuh di langit keenam dan ketujuh. Peristiwa itu berlaku
pada 27 Rejab 662 Masehi pada usia baginda 52 tahun.
Peristiwa Israk dan Mikraj memberikan pelbagai hikmah dan kelebihan.
Pada peristiwa itu, Allah S.W.T telah memfardhukan solat lima waktu
iaitu solat Subuh, Zuhur, Asar, Maghrib dan Isyak ke atas semua umat
Islam. Solat sehari semalam itu merupakan rukun Islam yang kedua.
Peristiwa Israk dan Mikraj membawa peringatan dan pengajaran yang
wajib dilaksanakan oleh seluruh umat Islam di dunia ini, terutamanya
amalan solat yang merupakan tiang agama yang wajib ditunaikan.
"Sebelum bertudung, saya terlebih dahulu menyucikan hati dan membaiki
solat. Saya sentiasa berusaha menunaikan solat lima waktu walaupun
sibuk dengan bermacam-macam aktiviti. Amalan solat tidak boleh dipandang
remeh kerana ia perkara pertama akan dihisab pada hari akhirat," luah
selebriti Wardina Saffiyah Fadhlullah Wilmot, 33. Beliau menyatakan,
adalah lebih bermakna sekiranya seseorang muslimah itu bukan sekadar
menutup aurat dan bertudung litup, tetapi turut menjaga solatnya.
Tegas wanita berdarah campuran Australia (sebelah bapa) dan Aceh
(sebelah ibu) itu, dengan mendirikan solat ia membantu mengukuhkan hati
dan iman para muslimin. Pada masa yang sama, orang yang bersolat itu
jelas menunjukkan bahawa mereka tidak sombong kepada Allah, Yang Maha
Mengetahui dan Maha Pencipta.
"Jika tidak bersolat, ini bermakna kita sombong dengan Allah.
Justeru, jika kita bersikap bongkak dengan-Nya, maka tidak mustahil kita
akan sombong terhadap manusia dan hidupan lain," kata Wardina yang
mendidik tiga orang anaknya, Amna Ikhwan Johari, 9, Azra, 6, serta
Imran, 3, solat berjemaah pada waktu Subuh, Maghrib dan Isyak.
Solat membentuk akhlak
SEHARUSNYA amalan solat disemai dalam diri individu sejak zaman kanak-kanak.
Sementara itu, Syahmi Hakim Kechnter Sha, 13, mengakui transisi
kehidupannya hari ini lebih bermakna. Pada zaman kanak-kanaknya, dia
tidak terlalu memikirkan soal solat dan mengaji al-Quran kerana
beranggapan amalan tersebut akan dilaksanakan apabila dewasa kelak.
"Biasalah masa zaman kanak-kanak terlalu asyik dengan pelbagai
aktiviti sehingga saya lalai. Kalau solat pun ikut mood, padahal solat
itu perlu dilaksanakan mengikut waktu yang ditetapkan. Jenuh jua
keluarga menasihati, tetapi saya tetap leka.
"Setelah mencapai usia 12 tahun, saya mula berubah dan berusaha untuk
tidak meninggalkan solat lima waktu," terang anak bongsu daripada lima
orang adik-beradik itu yang bercita-cita bergelar pendidik dan pakar
motivasi. Dia kini menuntut di Akademi Tahfiz Al-Hidayah (ATAH) yang
beroperasi di Jalan Gurney, Kuala Lumpur.
Luah anak kelahiran Juasih, Negeri Sembilan itu lagi, sememangnya
amalan bersolat membawa 1,001 keajaiban yang sukar untuk diterjemahkan
dengan kata-kata. Apa yang pasti, solat membantunya membentuk akhlak dan
budi pekerti.
Menghafaz al-Quran
Bagi Wan Abdul Hakim Wan Zulkifli, 11, dia menyifatkan tanggungjawab menunaikan solat seharusnya dididik sejak kecil lagi.
Sebagai umat Islam yang sentiasa mendambakan keberkatan Allah untuk
hidup di muka bumi ini, bersolat adalah platform yang terbaik dan lebih
afdal.
"Setiap hari, saya memperuntukkan masa antara dua hingga tiga jam
untuk membaca dan mempelajari ayat suci berulang kali supaya ingat dalam
ingatan. Selain itu, bagi menguatkan lagi proses menghafaz ayat-ayat
al-Quran beserta tajwid dan nahu yang betul, saya akan membacanya ketika
mengimamkan solat jemaah,"
kata anak sulung daripada lima orang
adik-beradik yang selalu menjadi imam untuk kumpulan pelajar tahap satu.
Setakat ini, Wan Abdul Hakim, sudah mampu menghafal lima juzuk al-Quran dengan lancar.
Erti perpaduan dalam solat
Salah seorang tenaga pengajar di ATAH, Hatim Nabihah Mohamad Khairi,
21, memberitahu, amalan solat memiliki fadilat secara tersurat dan
tersirat. Selain mendekatkan diri kepada Allah, solat juga salah satu
cara terbaik untuk mengajar umat Islam erti perpaduan dan keseragaman
dalam menjalani kehidupan seharian.
"Di ATAH, kami menekankan para pelajar terutamanya yang berusia 12
tahun ke bawah menunaikan solat secara berjemaah yang diketuai seorang
imam.
WARDINA (kanan) dan suami sentiasa menunaikan solat jemaah bersama tiga orang permata hati mereka.
"Hubungan antara imam dan makmum ketika melunaskan solat jemaah
bertujuan mempamerkan situasi bersatu hati dalam kalangan orang Islam
ketika menghadap Ilahi," tutur anak kelahiran Ampang, Selangor yang
turut bertindak sebagai guru bahasa Inggeris di sekolah berkenaan.
Tambah Hatim, sememangnya solat jemaah itu dituntut dalam Islam.
Mengikut mazhab Shafie, hukum solat berjemaah ialah fardu kifayah
meskipun sesetengah pendapat menyatakan hukumnya sunat muakad.
"Selain itu, keunikan solat jemaah bukan saja menawarkan ganjaran
pahala yang berlipat kali ganda, malah ia medium terbaik untuk
merapatkan ukhwah sesama umat Islam yang terdiri daripada pelbagai
bangsa, pangkat dan umur," terang Hatim yang sebentar tadi meminta para
pelajar memperkemaskan diri dan membetulkan saf sebelum melakukan solat
Asar.
Istinjak perlu betul
PADA peristiwa Israk dan Mikrak,
Allah S.W.T telah memfardukan solat lima waktu yang wajib dilaksanakan
oleh semua umat Islam di muka bumi ini.
Dalam pada itu, pengasas ATAH, Roslailawati Mohamad atau lebih mesra
disapa Ibu Laila, menyifatkan bahawa solat itu merupakan tiang agama
yang perlu kukuh dalam diri setiap umat Islam.
Tidak dinafikan kebanyakan muslimin segera menunaikan kewajipan solat
sebaik saja kedengaran laungan azan, namun persoalannya, adakah sebelum
mengambil wuduk dan bersolat, individu telah melakukan istinjak dengan
sempurna?
"Istinjak atau menyuci memerlukan kita membersihkan dubur dan
kemaluan sesudah buang air kecil atau besar serta perlu dilakukan
sebelum berwuduk. Proses ini wajib dititikberat bagi memastikan tubuh
badan bebas daripada rasa, bau dan warna kotoran atau najis.
"Selesai beristinjak barulah berwuduk dan pastikan aliran air rata
pada seluruh anggota wuduk seperti muka, tangan sehingga siku, kepala
dan bahagian kaki. Kemudian, disusuli dengan solat yang perlu dijaga
tata tertibnya," terang Ibu Laila, 52, yang turut menyatakan apabila
tiga perkara asas seperti istinjak, wuduk, dan tertib solat dijaga, ia
secara tidak langsung membuka peluang kepada individu memperoleh solat
berkualiti.
Tambah ibu kepada tujuh cahaya mata dan sembilan orang cucu berkenaan
solat yang berkualiti membantu membentuk akhlak yang mulia. Pada masa
yang sama, amalan solat mampu menghalang umat Islam daripada melakukan
perkara yang mungkar dan dilaknati Allah.
"Namun, jangan terkejut sekiranya berjumpa dengan sekelompok individu
yang jarang meninggalkan solat, tetapi mereka antara umat yang tegar
melakukan maksiat. Mengapa? Jawapannya mudah saja kerana perkara asas
solat belum dilunaskan dengan baik," jelas Ibu Laila yang menyokong
usaha kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO) yang melancarkan kempen
Jom Solat dan Kem Solat.
Kosmo! Online - Rencana Utama