Ahad, 21 Oktober 2012

Sepak Bola Api

 

PEMAIN perlu berpuasa selama 21 hari sebelum boleh bermain permainan pelik ini.



BIAR betapa hebat sekali pun bintang bola sepak dunia seperti Lionel Messi dan Ronaldo, mereka belum tentu mampu menyentuh bola berapi yang menjadi permainan tradisi pelajar sekolah pondok di Indonesia.

Ia kedengaran seperti satu lagi versi filem Shoalin Soccer tetapi permainan yang popular di sekitar Yogjakarta, Bogor, Tasikmalaya dan Papua itu menjadikan buah kelapa yang telah diubahsuai sebagai bola.

Mereka menendang dan menimang bola yang sedang terbakar dengan berkaki ayam.

Permainan lima sebelah atau lebih itu dikaitkan dengan ilmu persilatan dan dimainkan di atas tanah lapang berukuran 25x25 meter. Ia dipanggil sepak bola api oleh penduduk tempatan.

Sepak bola api menggunakan bola khas yang diperbuat daripada buah kelapa. Buah kelapa yang paling baik ialah yang sudah tua dan kering. Sebahagian kulit kelapa itu akan dihiris dengan pisau sehingga menjadi bentuk bulat seperti bola.



BUAH kelapa direndam dalam minyak tanah selama dua hari.



Airnya dibuang selepas tempurung kelapa itu ditebuk dengan hujung pisau. Ia kemudian ditutup dengan kain, diisi dengan minyak tanah dan dibiarkan selama dua hari.

Menurut seorang penganjur pertandingan, Ali Khyar, perlawanan itu diadakan bagi menguji ketahanan pelajar.

"Memang ada perasaan bimbang tentang keselamatan mereka tetapi berkat doa tertentu yang dibaca ditambah selepas badan mereka dilumur dengan garam dan sirih untuk mengurangkan rasa panas di kaki, belum ada pemain yang cedera teruk setakat ini," kata Ali sambil memberitahu, permainan itu bertambah popular setiap kali menjelang Ramadan.

Minyak tanah

Akhbar-akhbar di Britain minggu ini menyifatkan bermain buah kelapa yang sedang terbakar dengan api bernyala-nyala jauh lebih sukar berbanding menendang bola biasa. Apatah lagi bola yang digunakan adalah buah kelapa yang sudah direndam selama dua hari dalam minyak tanah.

Media di negara itu kagum bagaimana pelajar sekolah pondok terbabit mampu bermain selama 60 minit tanpa sedikit pun mengalami luka terbakar.

"Pemain utama Liga Perdana England bakal hilang punca jika terpaksa bermain bola sepak api di Indonesia," tulis Daily Mail. Sementara The Sun mengatakan pemain profesional di England tidak setanding pemain bola sepak api Indonesia.

"Liga Perdana England melahirkan ramai bintang sensasi dunia tetapi mereka bukan siapa-siapa apabila bermain bola sepak api," ulas The Sun.

Menurut beberapa orang pelajar yang ditemu bual wartawan tempatan, bermain bola sepak api lebih menarik berbanding bola biasa.



PELAJAR wanita juga bermain bola sepak api bagi menguji ketahanan mental dan fizikal mereka.



Bagaimanapun, ada syarat yang perlu dipatuhi sebelum mereka turun padang iaitu mereka harus berpuasa selama 21 hari sebagai proses penyucian diri.

"Mereka juga dikehendaki memakai pakaian yang menutup aurat, menghindari makanan yang dimasak menggunakan api dan berpuasa seharian tanpa tidur.

"Selepas melalui proses ini, mereka tidak akan takut lagi bermain bola sepak api malah boleh menggunakan kepala dan dada untuk mengawal bola," ujarnya.

Mengulas perkara ini seorang pakar motivasi, Ahmadi Baharudin berkata, beliau tidak pernah mendengar permainan bola sepak api itu.

Katanya, ia mungkin ada kaitan dengan sejenis ilmu persilatan dan tidak mustahil melibatkan bantuan makhluk halus.

"Jika tidak bagaimana kaki dan badan pemain tidak berasa sakit atau cedera. Lagipun penggunaan garam dan sirih mirip amalan perbomohan," tegasnya.

Bagi seorang pengamal perubatan Islam, Shamsuri Shafie, beliau tidak menolak bantuan makhluk halus dalam sukan itu.

"Mustahil mereka tidak mengalami sebarang kesakitan. Sifat api itu sendiri membakar dan boleh mencederakan," katanya. - MEGAT LUTFI MEGAT RAHIM

Kosmo! Online - Rencana Utama

Khamis, 18 Oktober 2012

Dipukau Wanita Berjubah Hitam

 

SITI SHAMSHIAH menunjukkan beg tangan yang menjadi tempat dia menyimpan barangan kemas di Kulim semalam.



KULIM – Seorang bekas pekerja Telekom Malaysia kerugian lebih RM20,000 selepas barang kemas dan jam tangan miliknya dilarikan oleh seorang wanita berjubah hitam di Padang Serai di sini Jumaat lalu.

Mangsa, Siti Shamshiah Ahmad, 60, mendakwa, dia tidak menyedari kehilangan barangan tersebut kerana telah dipukau oleh wanita tersebut.


Ceritanya, ketika kejadian, dia bersama suami serta beberapa ahli keluarga lain keluar untuk membeli barangan keperluan di pekan Padang Serai kira-kira pukul 10.30 pagi.


Ujarnya, ketika singgah di sebuah gerai menjual ubat tradisional, dia tiba-tiba dihampiri oleh seorang wanita yang tidak dikenalinya.

“Wanita itu mendakwa dia mengalami sakit mata dan meminta saya melihat ke arah matanya yang merah.

“Saya mengikut arahannya dan sebaik melihat mata wanita itu secara dekat, saya tidak sedar apa yang berlaku selepas itu,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Keladi Lambok di sini semalam

Kosmo! Online - Negara

Selasa, 16 Oktober 2012

Pocong Tanah Kubur

BUKTI...Pandak melihat objek menyerupai pocong dicampak 
di depan rumahnya, semalam.
BUKTI...Pandak melihat objek menyerupai pocong dicampak di depan rumahnya, semalam. 
JOHOR BAHRU: Seorang pengamal perubatan tradisional tercampak sejauh tiga meter ketika cuba mengambil objek seakan-akan pocong yang dicampak di depan rumah Ahli Majlis Perbandaran Johor Bahru Tengah (MPJBT), Pandak Ahmad, 49, di Taman Mutiara Rini, di sini, semalam.

Bagaimanapun, dalam kejadian jam 12.30 tengah hari itu, selepas membaca ayat suci al-Quran selama beberapa minit baru pengamal perubatan Islam terbabit berjaya mengangkat objek yang dipercayai menjadi medium ilmu hitam itu.

“Saya tidak menyangka sihir digunakan terlalu kuat sehingga tubuh saya boleh tercampak,” kata pengamal perubatan berusia 50-an itu yang hanya mahu dikenali sebagai Ustaz.

Menurutnya, selepas mengangkat objek sepanjang 45 sentimeter itu dan melakukan pemeriksaan, ia didapati penuh dengan serbuk pewarna merah, dicucuk jarum dan tulisan Siam.

Katanya, objek pocong itu dipercayai diisi menggunakan tanah kubur dan diwarnakan merah melambangkan darah manakala tulisan Siam yang tertera adalah sebahagian mantera.

myMetro | Pocong tanah kubur

Selasa, 2 Oktober 2012

Gurah Mencuci Suara

 

LEBIHAN lendir menyempitkan rongga hidung seterusnya mengganggu kelancaran pernafasan dan penghasilan suara dengan sempurna.



DALAM perubatan tradisional, ada beberapa kaedah pengubatan yang berupaya mengeluarkan toksin secara langsung daripada tubuh sekali gus membuatkan pesakit berasa lega. Antaranya rawatan bekam, resdung dan gurah.

Mungkin ramai yang sudah biasa mendapatkan rawatan resdung dan pernah mendengar ataupun melihat sendiri cara berbekam, namun, rawatan gurah memang jarang-jarang diperkatakan.

Menurut seorang pengamal perubatan gurah, Muhammad Razali Ahmad, 37, kaedah rawatan ini dapat mengeluarkan semua lendir yang ada di hidung dan kerongkong supaya nafas menjadi lebih panjang dan lunak.

“Rawatan ini turut dikenali sebagai rawatan cuci suara. Selain membersihkan hidung dan kerongkong, ia juga dapat menyelesaikan masalah resdung dan simptom kerap bersin terutamanya pada waktu pagi.

“Bagi yang kerap berdengkur, rawatan ini turut membantu pelanggan mengurangkan dengkuran bagi mendapatkan tidur yang lebih berkualiti.

“Begitupun, buat pelanggan yang mahu mengurangkan dengkuran, mereka perlu menjalani rawatan lebih kerap berbanding pesakit biasa, lama-kelamaan, insya-Allah, masalah dengkur mereka akan beransur hilang,” kata Muhammad Razali.

Menurutnya, kaedah rawatan yang menggunakan titisan air rebusan akar kayu terpilih itu biasanya mengambil masa selama 45 minit untuk selesai.

“Pelanggan akan diminta berbaring sebelum air rebusan akar kayu dititiskan ke dalam hidung.

“Dalam masa seminit, tekak pesakit akan berasa sedikit pedih sebelum dia diminta duduk dengan memegang sebuah baldi kecil.

“Beberapa saat kemudian, pesakit secara automatik memuntahkan lendir berwarna putih jernih daripada hidung dan mulut.

“Bagi yang tidak pernah membuat rawatan gurah, ibu kerak yang berwarna kekuningan seperti nanah dan sedikit berbau juga akan keluar bersama,” ujar Muhammad Razali lagi.

Dengan bayaran RM50 bagi sekali rawatan, lendir yang dikeluarkan pesakit akan dipastikan benar-benar bersih sebelum sesi tersebut dianggap selesai.

Antara pelanggan yang sering mendapatkan khidmat gurah terdiri daripada kalangan artis, qari, qariah dan bilal.


Lancar

“Selepas rongga dibersihkan, lontaran suara anda akan berasa ringan serta mantap. Kaedah ini juga mampu merawat penyakit suka berkahak dan resdung yang kerap bersin pagi,” ujar Muhammad Razali.

Katanya lagi, apabila terlalu banyak lendir di dalam kerongkong dan rongga hidung, saluran pernafasan menjadi sempit. Bayangkan jika lendir itu sudah berkumpul di situ bertahun-tahun lamanya, pasti sedikit sebanyak ia menjejaskan fungsi rongga yang dahulunya lapang.

Walaupun tidak memberi kesan sakit secara langsung, kehadiran lambakan lendir di kawasan tersebut mengganggu kelancaran pernafasan dan suara.

“Kebanyakan pelanggan yang datang mendapatkan rawatan di sini sering mengadu sukar untuk menarik suara dalam nada tinggi ataupun panjang.

“Biasanya apabila sudah terlalu banyak lendir, tidak banyak angin yang boleh memasuki rongga hidung dan kerongkong. Keadaan ini menyebabkan dada cepat mengah dan suara mudah ‘tersepit’.

“Seperti meniup belon, bila kita tiup, ia mampu menyimpan banyak angin, jika kita lepaskan, pengaliran udara yang keluar juga lancar, tetapi jika kita kepitkan jari di mulut belon, pastinya angin susah nak keluar dan bunyinya juga membingitkan telinga, begitu juga kaitan antara rongga yang luas, udara dan suara,” jelas Muhammad Razali panjang lebar.

Walaupun banyak manfaat rawatan pembersihan kerongkong dan rongga hidung ini, pelanggan tidak digalakkan melakukannya secara kerap.

“Paling ideal, ia dilakukan tiga bulan sekali. Jika terlalu kerap, lendir belum banyak terkumpul. Dikhuatiri proses pembersihan tersebut akan memedihkan rongga hidung pula,” ujarnya yang belajar mengendalikan rawatan gurah daripada seorang pakar gurah di Pahang.

Biarpun kaedah rawatan ini nampak mudah, Muhammad Razali tidak menggalakkan pelangannya melakukan proses pembersihan lendir ini sendirian di rumah.

“Jika tidak kena teknik memasukkan air rebusan kayu itu tadi, mungkin rawatan ini tidak menjadi,” katanya yang menyediakan rawatan untuk pesakit lelaki sahaja.

Kosmo! Online - Rencana Utama
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Template by:
Free Blog Templates